Seramai 674 orang guru SRA JAIM terlibat dalam kursus kali ini.

24 Oktober 2015 – Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Melaka dengan kerjasama Bahagian Pendidikan, JAIM telah menganjurkan kursus selama sehari di Stadium Mini Bistari, Ayer Keroh, Melaka.
Kumpulan sasaran bagi siri kedua ini adalah 674 orang guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi Daerah Jasin dan Alor Gajah.
Kursus kali ini merupakan siri kedua setelah siri pertama dijalankan bagi guru-guru Daerah Melaka Tengah di Auditorium Al-Azim pada 10 Oktober lalu.
Para peserta telah diberikan pendedahan berkaitan teknik dan kaedah pengajaran mata pelajaran Jawi, al-Quran dan Bahasa Arab.
Pada sesi pagi, para peserta telah diberikan pelbagai input berkaitan teknik belajar dan mengajar al-Quran dalam slot tahsin al-Quran yang dibimbing oleh Ustaz Rashidi bin Abdul Razak, Penyelia Bahasa Arab, SPI, Jabatan Pendidikan Melaka. Penglibatan aktif para peserta kali ini membuktikan bahawa mereka memang dahagakan ilmu al-Quran dan kehadiran dalam kursus ini akan menambah kemahiran mereka dalam menyampaikan ilmu ini kepada anak didik mereka kelak.
Ustaz Hj. Khairiel bin Moktar, Penolong Pengarah Bahasa Arab, SPI pula menyambung slot untuk Bahasa Arab. Penyampaian bersungguh beliau berjaya mendapat perhatian penuh para peserta apabila dewan menjadi meriah dengan teknik penerangan dua hala dan kaedah berpusatkan audien yang digunakan.
Slot sebelah petang diisi pula dengan kaedah penulisan dan pengajaran Jawi yang disampaikan oleh Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ustaz Azlan bin Muis. Sesi ini juga mendapat sambutan hebat apabila peserta bersungguh-sungguh menjawab pelbagai soalan dan latihan yang diberikan.
Majlis perasmian penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBhg. Ustaz Hj. Haris bin Mahat, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan, JAIM.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua guru menjadikan tugasan mendidik ini sebagai salah satu amanah bagi menjayakan agenda pendidikan negara dalam menghasilkan anak didik yang sentiasa mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi khususnya dalam bidang ukhrawi.
Beliau juga menekankan tentang kepentingan mempelbagaikan kaedah PdP agar dapat menarik minat murid mempelajari ilmu agama, jawi dan al-Quran.
Kerjasama antara SPI, JPM dengan Bahagian Pendidikan, JAIM ini pula diharapkan akan dapat memantapkan lagi kolaboratif dengan tujuan dan matlamat yang sama iaitu melahirkan guru-guru yang berinovasi ke arah pembentukan anak didik yang cemerlang dan mempunyai jati diri.
Turut hadir menjayakan kursus ini ialah Ustaz Hj. Ahmad Hamizi bin Abu Hassan, Ketua Sektor, SPI, Ustaz Hj. Ridzuan b. Hj. Ab. Ghani, Ketua Unit Pengurusan Institusi Pendidikan Agama, para pegawai SPI dan Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Bahagian Pendidikan, JAIM.

 
Top