Written by  Raimi Munirah Ramli Wednesday, 10 April 2013 07:41

MARANG, 10 April – Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim bin Mohd Zin hari ini menegaskan, peranan pendidik bukan sahaja sebagai penyampai fakta, maklumat dan ilmu, tetapi guru harus bertindak lebih dari itu. Guru perlu menjadi fasilitator dan pemudahcara serta bersedia mencipta suasana pembelajaran lebih kondusif serta proaktif bagi memastikan murid mampu mengaplikasikan kemahiran serta pengetahuan yang dimiliki bagi mengharungi arus pemodenan dan realiti kehidupan masa kini.
 
Bertindak merasmikan Seminar Terengganu Anjung Ilmu, Ke Arah Pembelajaran Abad Ke-21 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu, beliau turut menyatakan bahawa hasrat Kerajaan Negeri Terengganu adalah untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu. Ujarnya lagi, “ Dalam bidang pendidikan, Negeri Terengganu agak terkehadapan. Usaha membekalkan peralatan ICT seperti eBOOK  kepada murid-murid di Terengganu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain”.
 
Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Professor Dr. Chang Lee Hoon, Timbalan Dekan, Pengajian Siswazah dan Penyelidikan UPSI. Seminar yang disertai oleh para Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah di Negeri terengganu itu bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan eBOOK bagi merealisasikan program Kelas Maya ke arah pendidikan bertaraf dunia selaras dengan aspirasi menjadikan Negeri Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu. Selain memberi pendedahan kepada Pengetua dan Guru Besar mengenai pengurusan perubahan pembelajaran abad ke-21, seminar ini juga diadakan bagi membina keyakinan dan kesediaan di kalangan pentadbir sekolah untuk mengurus pelaksanaan eBOOK dan Kelas Maya.
 
Ketika mengulas perkara itu, beliau turut menyatakan ciri-ciri kemahiran abad ke-21 yang harus dimiliki oleh setiap individu bagi memastikan wawasan negara maju dapat dicapai. Kata beliau, “ Di  Singapura, konsep kemahiran abad ke-21 ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai keyakinan diri, mengamalkan pembelajaran kendiri,menyumbang dengan aktif dan merupakan warganegara yang prihatin”. Katanya lagi, “ Di Finland pula, kemahiran abad ke-21 berteraskan kepada perkembangan kendiri, identiti budaya dan keantarabangsaan, kemahiran media dan komunikasi, warganegara partisipatif, bertanggungjawab terhadap persekitaran serta menitik berat kesihatan diri dan masa depan yang lestari".
 
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan hasrat untuk melihat perubahan menuju abad ke-21 dilakukan oleh semua Pengetua dan Guru Besar. Para pentadbir sekolah perlu berada di barisan hadapan, menjadi jaguh di sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak didik berjaya bukan sahaja dalam pelajaran malah cemerlang dalam pembentukkan sahsiah diri.
 
Last modified on Wednesday, 10 April 2013 08:01
 
Top