27 Februari 2016 – Dalam mendepani cabaran dan isu penyelewengan akidah umat Islam masa kini, pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan ianya dapat dibendung bagi memastikan Islam tetap terpelihara di negara ini.
Bahagian Pendidikan Islam, KPM dan Sektor Pendidikan Islam, JPN Melaka dengan kerjasama Yayasan Murni Akidah telah berusaha berganding bahu memikul tanggungjawab ini dengan mengadakan satu taklimat berkaitan di Dewan Bestari, JPN Melaka baru-baru ini.
Seramai 140 Pengetua dan Guru Besar serta 20 orang JU Dakwah negeri Melaka telah terlibat dalam program yang diurus setiakan oleh Unit Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam (PDSI), Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Melaka ini.
Dalam ucaptama Timbalan Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam KPM, Puan Hjh. Kamariah bt. Isa telah menyeru agar kesempatan yang ada ini diberikan perhatian serius oleh semua pentadbir sekolah bagi memastikan warga pendidik dan anak-anak di sekolah sentiasa mendapat perhatian dan penerangan yang jelas berkaitan pegangan utama dan akidah ini.
“Saya menyeru agar semua pihak tidak memandang remeh penyebaran ilmu berkaitan keimanan ini kepada warga sekolah dan komuniti setempat. Ia didapati boleh melemahkan pegangan Islam kita kerana ditafsirkan mengikut fahaman dan juga akal fikiran logik semata-mata”, tambahnya lagi.
Beliau turut bersyukur dan berterima kasih kerana kerjasama daripada NGO khususnya Yayasan Murni Akidah ini akan dapat benar-benar dimanfaatkan demi memartabat dan menjaga kesejahteraan Islam di Malaysia ini.
Hadir sama, Ustazah Farhanah bt. Abd. Rashid, KS Pembangunan Akhlak dan Syiar Islam BPI; Ustaz Hairon Zainal Abidin, Ketua Unit Kawalan Akhlak dan Pemikiran Islam BPI; dan Ustaz Mohd. Hamidi bin Zakaria, Ketua Unit Budaya dan Syiar Islam BPI.
Turut hadir mewakili Yayasan Murni Akidah adalah Tengku Rozaidin b. Tengku Yazid, Ketua Jabatan Operasi, Penyelidikan dan Pembangunan dan Mohd. Nor Azman b. Mohd. Arif, Ketua Jabatan Kewangan dan Pentadbiran dan juga Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN Melaka Hj. Ahmad Hamizi b. Abu Hassan.
Sesi penerangan dan taklimat telah disampaikan oleh Ustaz Rizuan bin Rasip (IPG Kampus Durian Daun) dan Ustaz Mohd Najib Khasim (Pengerusi Aqrab Istiqamah Melaka).
18 Mei 2016
 
Top