Sesi bergambar para peserta bersama Timbalan Dekan FTMK, UTeM.

12 Julai 2012 - Seramai 17 orang guru SMKA dan SABK Negeri Melaka telah diberikan pendedahan untuk membangunkan laman web sekolah masing-masing dalam Kursus Asas Grafik dan Pembangunan Laman Web Sekolah yang telah diadakan pada 28 Jun 2012 dan 10 - 12 Julai 2012 di Makmal Komputer, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
     Kursus ini telah dianjurkan secara bersama oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPN Melaka, Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
     Kursus ini telah dikendalikan oleh Cik Ahada bt. Kamaruddin (Pegawai Teknologi Maklumat, BPI) dan En. Mohamad Zulkifli bin Ngah (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, BPI) manakala 15 orang barisan pensyarah UTeM pula telah turut serta membantu sebagai fasilitator yang diuruskan oleh Puan Rosleen bt. Abdul Samad.
     Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Burairah bin Hussain, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pasca Siswazah) UTeM. Dalam ucapannya, beliau memuji usaha yang bersungguh para peserta kursus yang telah mengikuti kursus ini. Beliau berharap agar semua sekolah agama di negeri ini akan dapat menampilkan kehebatan sekolah dan anak didik masing-masing melalui laman web sekolah masing-masing agar martabat sekolah aliran agama akan sentiasa dipandang tinggi oleh semua pihak.
      SPI Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada BPI dan juga UTEM atas segala bantuan yang telah diberikan untuk menjayakan kursus ini. Sekalung tahniah pula diberikan kepada semua peserta kursus kerana telah berjaya menghasilkan laman web sekolah masing-masing walaupun tiada mempunyai pengetahuan asas langsung dalam pembinaan laman web sebelum ini.




 
Top