





17 Jun 2016 - Ramadan Kareem dan Ramadan Al-Mubarak ialah ungkapan yang selalu kita dengar setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
Bagi mengimarahkan Ramadan pada tahun ini, Sektor Pendidikan Islam telah mengatur pelbagai aktiviti yang melibatkan warga JPN Melaka. Antaranya ialah ceramah penghayatan Ramadan.
Pagi ini, sesi ceramah telah menampilkan Al-Fadil Ustaz Hj. Dahlan bin Suramin Al-Hafiz, Guru Pendidikan Islam, SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam. Beliau telah berkongsi ilmu tentang keistimewaan amalan sepanjang Ramadan yang mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan.
Antara intipati ceramah beliau adalah dengan banyakkan berdoa dan beramal dari awal hingga berakhirnya Ramadan. "Berdoalah setiap hari khususnya menjelang berbuka kerana pada waktu itu adalah antara masa mustajab berdoa. Mintalah agar Allah memberi kita peluang untuk berjumpa dan beramal pada malam Lailatur Qadr", ujarnya.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini telah dihadiri lebih daripada 300 warga Jabatan Pendidikan Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah dan juga pentadbir sekolah Daerah Melaka Tengah. Majlis ini telah diadakan di Dewan Bestari, Jabatan Pendidikan Melaka Cawangan Bukit Baru.
Warga JPN Melaka juga bertadarrus pada waktu rehat hingga Zohor pada setiap hari Isnin hingga Khamis di musolla dan surau di premis masing-masing manakala kutipan Infak Ramadan pula dijalankan secara berkala. Setakat ini jumlah terkumpul adalah sebanyak RM1,769.00. RM1124.00 dikumpulkan pada hari pelancaran Program Ihya Ramadan oleh YBhg. Tuan Hj. Abu Bakar bin Sahari, Pengarah Pendidikan Melaka dan RM645.00 semasa sesi ceramah pagi ini.
Program yang dilaksanakan ini bertujuan agar Ramadan yang sedang kita lewati ini menjadi Ramadan terbaik dalam sejarah hidup kita selama ini.
Salam Ramadan Kareem.