2 September 2016 - Sempena menyambut ketibaan Bulan Zulhijjah, Unit Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam (PDSI), SPI, JPN Melaka telah mengadakan Majlis Bicara Wahyu yang bertajuk "Berkorban Apa Sahaja".
Penceramah kali ini ialah Tuan Hj. Haris bin Mahat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM.
Dalam ceramahnya, beliau menghuraikan konsep pengorbanan yang dituntut dalam Islam bagi memastikan semua Umat Islam sentiasa berusaha dan redha dengan setiap ujian Allah.
Dalam majlis ini juga, pengumuman dan penyampaian hadiah pertandingan kepada para pemenang Anugerah Surau dan Musolla Imarah Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Melaka 2016 turut diadakan.
Dalam ucapan perasmian YBhg. Tuan Hj. Abu Bakar bin Sahari, Pengarah Pendidikan Melaka, beliau menekankan tentang pentingnya para guru dan ibu bapa berkorban masa dan tenaga dalam mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan tanpa meminggirkan kepentingan sahsiah.
"Saya juga amat berharap waktu Pendidikan Islam diletakkan pada waktu pertama dalam jadual waktu persekolahan untuk membolehkan murid-murid dibimbing agar mencintai al-Quran dan sentiasa menjaga solat. Saya cukup mengambil berat masalah gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini".
"Marilah kita bersama-sama tingkatkan usaha dan berganding bahu mencorakkan anak-anak didik kita supaya mereka akan menjadi insan terbaik sebagai pelapis pimpinan negara kita suatu hari kelak," ujarnya lagi.
 
Top